PANAS : WANITA BERSIKAP KURANG AJAR

Susulan Kejadian Warga Tua Terlanggar Kereta Peugeot 208 milik seorang wanita di Kuantan


Lelaki warga emas yang dikatakan telah melanggar kereta Peugeot 208 milik seorang wanita di Kuantan pada Isnin lalu sehingga menyebabkan pemilik kereta tersebut mengamuk sambil mengeluarkan pengunci stereng sebagai ancaman kepada lelaki warga emas tersebut difahamkan telah memaafkan perbuatan wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abd Aziz Salleh berkata pesara berumur 67 tahun itu memandu kereta Toyota dan secara tidak sengaja terlanggar kereta wanita yang berumur 30 tahun berkenaan di sebuah tempat letak kereta di Pusat Transformasi Bandar (UTC) daerah tersebut.

“Wanita dan pesara tersebut sudah pun membuat laporan polis berkenaan kemalangan itu. Lelaki itu mendakwa wanita tersebut mencekak bajunya dan mengetuk kereta lelaki itu berkali-kali menggunakan pengunci stereng.

Walaupun telah dinasihatkan polis untuk membuat laporan polis mengenai ancaman yang dilakukan oleh wanita berkenaan, lelaki tersebut tidak mahu membuat satu lagi laporan terhadap wanita berkenaan kerana tidak mahu memanjangkan perkara tersebut malah dia juga telah memaafkan perbuatan wanita berkenaan,” kata Abd Aziz ketika dihubungi Astro AWANI.

Abd Aziz turut menjelaskan bahawa polis telah pun mengeluarkan surat saman kepada pesara tersebut kerana kemalangan kecil tersebut namun perbuatan wanita tersebut masih lagi disiasat.

Insiden kemalangan kecil yang berlaku pada tengah hari 14 Julai tersebut telah menaikkan darah wanita berkenaan menyebabkan dia mengeluarkan pengunci stereng dan cuba bersemuka dengan lelaki tersebut.

Kejadian tersebut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sehingga video berdurasi 2.33 yang dimuat naik di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan juga YouTube menjadi ‘viral’ dan ‘trending’.

Malah, apa yang lebih dikesalkan dalam video berkenaan wanita itu turut memaki hamun lelaki berkenaan dengan kata-kata nista seperti “Ini kereta barulah bodoh!” sambil menghentak pengunci stereng yang dipegangnya itu ke kereta milik lelaki warga emas berkenaan.

Selain itu cacian seperti “I don’t care, pay me RM2000 now!”, “you very stupid!” dan kata cacian berbaur perkauman kedengaran di penghujung video tersebut.

Sementara itu dalam satu majlis yang berlainan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu pemberita bahawa polis akan mengambil tindakan terhadap wanita tersebut.

“Sudah tentu itu bukanlah cara yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah tersebut dan undang-undang tidak boleh diletakkan di tangan sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya telah melihat video tersebut dan wanita berkenaan ternyata menunjukkan sikapnya sebagai seorang pembuli jalan raya dan satu laporan polis akan dibuat terhadap wanita berkenaan.

“Tidak kiralah sama ada lelaki berkenaan ada membuat laporan polis atau tidak, kita akan mengambil tindakan terhadap wanita itu,” lapor Astro Awani.

0 Response to "PANAS : WANITA BERSIKAP KURANG AJAR "

Post a Comment