SHAH ALAM 23 Jun - Pengurus AmBank cawangan Subang Jaya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bekas pengawal keselamatan bank itu, La Ode Ardi Rasila atau dikenali sebagai Ardi berkelakuan mencurigakan sebelum lelaki itu menembak kepala pegawai bank, Norazita Abu Talib, tahun lalu.
Menurut Lyonel Tan Ooi Keong, 30, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank itu menunjukkan La Ode memerhatikan tempat simpanan wang ketika dua pegawai bank iaitu Norazita dan Arzanna Abdullah sedang memindahkan wang daripada peti besi ke dalam tempat simpanan.
Ujarnya, mengikut prosedur biasa, pengawal keselamatan tidak sepatutnya berada berhampiran kawasan peti simpanan sebaliknya perlu mengawasi bahagian ruang pelanggan ketika pemindahan wang dilakukan oleh pegawai.
Ooi Keong merupakan saksi pendakwaan kedua yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes terhadap pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode, 36, yang didakwa membunuh dan melepaskan tembakan terhadap Norazita, 37.
La Ode didakwa membunuh Norazita di dalam bangunan AmBank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini di antara pukul 6 petang dan 6.30 petang 23 Oktober 2013.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Dia turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun dengan niat menyebabkan kematian kepada pegawai AmBank itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut membawa hukuman mati.
Dalam keterangannya, Ooi Keong berkata, rakaman itu ditunjukkan kepada pihak polis yang tiba di premis itu selepas kejadian dan satu salinan turut diserahkan sebagai bukti.
Saksi itu turut memberitahu, rakaman CCTV tersebut seterusnya memaparkan tertuduh menembak Norazita dan kemudian menolak Arzanna keluar dari kawasan simpanan wang sebelum mengutip dan memasukkan wang ke dalam sebuah beg.
Katanya, terdapat rakaman CCTV daripada kamera yang lain menunjukkan tertuduh melarikan diri dari premis berkenaan.
Beliau berkata, rakaman yang direkodkan dari pukul 6 hingga 6.40 petang pada 23 Oktober 2013 menunjukkan tembakan dilepaskan oleh tertuduh terhadap Norazita pada pukul 6.18 petang.
Ooi Keong menyatakan demikian ketika menjawab soalan Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd. Azari Harun yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asyraf Md. Kamal.
Beliau turut memaklumkan, kerugian yang dialami pihak bank berjumlah RM450,000.
Sementara itu, saksi pendakwaan keempat, bekas penyelia operasi syarikat pengawal keselamatan Kawalan Prima Sdn. Bhd., Mannan Kadil, 40, menyatakan, dia yang menemuduga Ardi Hamzah yang dicamkan sebagai La Ode itu untuk bekerja di syarikat tersebut.
Menurutnya, La Ode mengemukakan kad pengenalan dengan nama Ardi Hamzah dan diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan biasa sebelum ditempatkan di bangunan Celcom Seksyen 13 Petaling Jaya.
Katanya, La Ode mendapat lesen senjata api pada 26 Ogos 2013 iaitu selepas tiga bulan bekerja.
Menurutnya, pada hari kejadian, La Ode diarahkan supaya menggantikan pengawal keselamatan bersenjata di AmBank Subang Jaya bernama Mohd. Sikada Abdullah yang bercuti sakit.
Sekitar pukul 6.30 petang, dia mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang pengawal keselamatan di Bank Muamalat yang menyatakan La Ode menembak seseorang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.
0 Response to "La Orde Rasila Tembak kepala Pegawai bank"
Post a Comment